Thursday, September 25, 2008

EBBY YUS KESAL DENGAN STESEN TV


KUALA LUMPUR – Pengarah, pelakon dan pelawak Ebby Yuss Rashid kesal dengan sikap segelintir ‘orang dalam’ stesen tv yang tidak mementingkan budaya dan kesenian Melayu dalam rancangan-rancangan terbitan mereka.

Ebby Yus meyatakan kekesalannya kerana sikap orang dalam berkenaan yang mengatakan bahawa drama yang berunsurkan silat Melayu tidak senarai dalam slot terbitan stesen mereka.

“ Saya kesal kerana seorang pegawai Melayu berkata bahawa drama silat Melayu tidak ada dalam slot terbitan mereka. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak mementingkan identity Melayu dalam drama terbitan mereka,”

“ Semua umum tahu bahawa silat Melayu adalah satu wadah memperkasakan bagsa Melayu. Bangsa Cina dengan kung fu mereka, India dengan Kalaripayat mereka, jadi sudah tentu Melayu dengan pencak silat. Kalau orang sebut silat sudah tentu ianya mengaitkan dengan Melayu,” ujar pelakon yang dahulunya terkenal dalam drama Keris Hitam Bersepuh Emas dan Pendekar Kundur.

EBBY YUS RASHID


Menurut Ebby lagi, bila ada produser yang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk sesebuah drama persilatan Melayu, pihak terbabit seharusnya menyokong dan bukannya menolak kerana tak ada slot. Katanya lagi, slot boleh dibuat dan diuruskan oleh ‘orang dalam Melayu’ itu.

Ebby mengingatkan kita dengan sejarah kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957 dahulu bahawa Pertubuhan Silat Gayong berada di barisan hadapan dalam perarakan tersebut. Itu bermakna bahawa silat itu penting untuk menunjukkan bangsa kita.

Kata Panglima Hang Tuah, Takkan Melayu Hilang Di Dunia. Ini bermakna pihak berwajib seharusnya mengambil inisiatif untuk melakukan beberapa langkah agar Melayu (silat umpamanya) tidak hilang di dunia.

“ Sudahlah anak muda kita disogokkan dengan cerita-cerita budaya asing sehinggakan mereka sendiri tak tahu silat itu bagaimana rupanya, ini pulak pihak yang seharusnya memainkan peranan untuk menobatkan silat Melayu mengambil sikap tidak mahu membantu,”ujar beliau kesal.

Menurut Ebby, dia mempunyai keupayaan dan kesanggupan untuk melahirkan sebuah drama persilatan bagi mengangkat martabat Melayu, dan ada pula syarikat yang menyokong untuk membantu membiayainya, tetapi dengan sikap stesen televisen yang sedemikian, dia merasa hampa kerana jalan itu tertutup dan seolah stesen televisen itu tidak mengambil peduli tentang budaya mereka sendiri.

Ebby berharap Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Chik dapat membantu tentang hal ini kerana Ebby pasti YB Menteri itu ada jiwa Melayu yang melekat kuat dalam dirinya.- HARIAN SENI

1 comment:

Setiausaha Agung PSSLM said...

PERTUBUHAN SENI SILAT LINTAU MALAYSIA CAWANGAN NEGERI KELANTAN Menyokong penuh usaha saudara di persada seni tanahair...